Wednesday, July 14, 2010

Gembira, sihat & sedia belajar

Negara kita adalah sebuah negara yang penuh dengan cogan kata semangat dari yang berbentuk sorakan semangat untuk tujuan sukan hingga kata-kata laungan yang berbunyi patriotisme atau kepolitikan. Oleh sebab itu, melalui ruangan ini saya ingin memperkenalkan cogan kata baru untuk ibu, bapa serta pendidik praformal pula yang berbunyi – Gembira, Sihat dan Sedia Belajar!
Untuk beberapa bulan yang akan datang, kita akan membincangkan cogan kata ini sambil memahami betapa pentingnya tiga komponen di atas iaitu gembira, sihat dan sedia belajar sebagai persediaan awal untuk si kecil mula menaakul kemahiran akademik dan kognitif di tadika dan kemudiannya di sekolah.
Ini kerana tanpa rasa gembira, tubuh badan yang sihat dan kesediaan anak anda sendiri untuk belajar, segala usaha yang kita lakukan pasti tidak akan membawa manfaat kepada kanak-kanak.
Usia praformal waktu yang paling bermakna buat si kecil
Seperti yang anda tahu, kanak-kanak mula belajar tentang dunia di sekeliling mereka sejak hari mereka lahir ke dunia ini. Sebagai ibu dan bapa yang prihatin, anda akan/sedang menjadi guru anak anda yang pertama dan seharusnya anda berusaha untuk menjadi gurunya yang terbaik!
Walaupun kita tidak boleh menyangkal betapa pentingnya asas pendidikan praformal melalui institusi taska atau tadika, kanak-kanak sudah mula belajar di dalam suasana rumah, di dalam kereta anda, ketika di pasar raya, sewaktu pergi bercuti - dan sewaktu anak kecil itu berada di atas pangkuan anda atau suami/ isteri anda.
Maka tidak hairanlah, sebelum si kecil mula ke taska atau tadika dia sudah menguasai begitu banyak kemahiran dan menaakul sebegitu banyak ilmu pengetahuan kerana sesungguhnya pintu rumah anda adalah jambatan yang akan menghubungkan si kecil dengan dunia persekolahan sebenar.
Apabila anak anda menjejakkan kakinya ke alam taska, tadika dan akhir sekali ke sekolah, anda sudah memberinya persiapan yang cukup untuk memastikan si kecil berusaha untuk menempa kejayaan, misalnya:
Dimensi fizikal:
Ibu serta bapa dan ahli keluarga yang lain sentiasa memastikan bahawa si kecil mempunyai tubuh yang kuat, sihat, bertenaga dan bersedia untuk meneruskan usahanya untuk belajar.
Melalui diet yang sihat dan pemakanan yang sentiasa mencukupi, kanak-kanak dapat membentuk kekuatan fizikal yang amat diperlukan untuk usia praformal yang serba mencabar serta memerlukan banyak tenaga.
Hari ini masalahnya, segelintir kanak-kanak tidak mendapat gizi yang seimbang atau terlalu banyak makan hingga semakin ramai anak kecil yang dilanda masalah obesiti pada usia praformal. Walaupun masalah ini masih tidak terlalu ketara dalam masyarakat majmuk kita, pada waktu yang sama kita perlu berhati-hati untuk memastikan ia nanti tidak menjadi masalah yang menular.
Komponen emosi:
Ibu, bapa serta ahli keluarga lain selalu membantu si keil untuk mengawal emosinya dan untuk merasai perasaan orang lain (nilai empati). Semua ini membantu anak anda untuk membentuk kemahiran sosial yang lebih tinggi.
Kelak dia akan mampu untuk berkongsi permainannya dengan kanak-kanak lain, memahami sesuatu perkara dari sudut pandang atau perspektif yang lain dari dirinya dan untuk bersedia menghadapi apa sahaja cabaran serta kesukaran yang datang.
Sebagai contoh, di tadika tentu ada kanak-kanak lain yang akan cuba membuli atau menyakiti anak anda secara emosi (mengejek, mengenakan si kecil) atau fizikal (membuli,
mengambil barang kepunyaan si kecil). Tanpa komponen emosi yang kukuh, kanak-kanak tidak akan mampu menghadapi cabaran ini dan ia mungkin akan menjadi titik hitam dalam hidupnya sehingga di dewasa.
Kemampuan kognitif:
Ibu dan bapa yang proaktif akan memastikan si kecil mereka dapat memahami sebanyak mungkin tentang alam dan dunia, mengikut minatnya dan dengan tidak terlalu menekan kanak-kanak itu.
Kanak-kanak yang sedia untuk belajar merasakan bahawa membaca, menulis serta mengira adalah aktiviti penjelajahan yang sangat menarik perhatian mereka. Mereka juga lazimnya sudah memahami asas nombor dan operasi matematik yang mudah, serta sudah mengenali bentuk dan warna yang mereka lihat.
Berikan sehelai kertas dan sebatang krayon atau pensel warna dan kanak-kanak berkenaan akan ‘menconteng’ serta membuat lakaran dengan gembira. Walaupun pada mulanya hasil lakaran berkenaan sukar untuk difahami tetapi dengan peralihan masa, kanak-kanak yang suka melakar di atas kertas akan mampu menulis huruf, nombor dan juga membuat bentuk-bentuk geometrik mudah.
Dengan dorongan dan sokongan yang tidak putus-putus dari setiap ahli keluarga, kanak-kanak itu akan terus menunjukkan rasa ingin tahu yang kuat yang akan membantunya dalam persediaan untuk ke taska, tadika serta sekolah kelak!
Senarai semak pertama ‘Gembira, Sihat dan Sedia Belajar’
Gunakan senarai semak di bawah jika anda mempunyai anak kecil pada usia awal praformal yang mungkin sudah bersedia untuk ke taska untuk tadika. Jangan risau jika si kecil itu masih tidak mampu melakukan beberapa perkara yang saya sebutkan, pada keluaran Pa&Ma akan datang saya akan berkongsi beberapa tip untuk membantu kanak-kanak bersedia untuk belajar di taska, tadika serta di sekolah nanti.
DIMENSI SOSIAL DAN EMOSI
+ Adakah si kecil anda... (jawab: ‘Tidak’, ‘Kadang-kadang’, ‘Ya’ atau ‘Kurang pasti’)
+ Boleh bermain dengan kanak-kanak lain yang sebaya atau lebih tua?
+ Dapat dipisahkan daripada ibu atau bapanya untuk suatu tempoh yang agak panjang?
+ Berkongsi makanan atau alat permainan dengan kanak-kanak lain serta bermain bersama-sama secara bekerjasama (co-operative play)?
+ Tahu jika anda sedang sedih, marah atau gembira dan dapat berkongsi perasaan itu dengan anda dengan memberi tisu dan sebagainya?
+ Dapat bermain secara imaginatif walaupun semasa bersendiri misalnya dengan anak patung atau beruang teddynya?
+ Boleh mengemas dan menyimpan kembali alat permainan serta alat tulisnya di tempat yang sepatutnya?
DIMENSI KEPERLUAN PERIBADI
+ Adakah si kecil anda... (jawab: ‘Tidak’, ‘Kadang-kadang’, ‘Ya’ atau ‘Kurang pasti’)
+ Sudah boleh menggunakan tandas tanpa disuruh oleh orang lain?
+ Tahu cara yang betul untuk mencuci serta mengelap tangannya?
+ Tahu bahawa dia perlu menggosok gigi sekurangkurangnya dua kali sehari iaitu waktu siang dan malam?
+ Mampu menggunakan tisu untuk mengelap hidungnya atau menutup hidung ketika dia bersin?
+ Sudah boleh memakai seluar atau baju yang berbutang atau berzip tanpa bantuan orang lain?
+ Tahu cara untuk memakai stoking dan kasut atau sekurang-kurangnya untuk memakai kasut ‘velcro’ dengan sendiri?
DIMENSI FIZIKAL/LUARAN
+ Adakah si kecil anda... (jawab: ‘Tidak’, ‘Kadang-kadang’, ‘Ya’ atau ‘Kurang pasti’)
+Suka bermain serta berlari, melompat dan memanjat?
+ Boleh meniru dan melukis bentuk geometri asas?
+ Mampu menggunting kertas dengan gunting kecil?
+ Boleh memegang pensel atau krayon dengan cara yang betul?
+ Boleh membaling dan menangkap boleh dengan cekap?
+ Boleh menaiki basikal roda tiga tanpa bantuan orang lain?
DIMENSI PENJAGAAN DIRI
+ Adakah si kecil anda... (jawab: ‘Tidak’, ‘Kadang-kadang’, ‘Ya’ atau ‘Kurang pasti’)
+ Sudah mempelajari nama penuhnya sendiri?
+ Boleh memberitahu orang lain nama penuh ibu serta bapanya?
+ Tahu apa yang perlu dilakukan sebelum melintas jalan dengan bantuan orang lain?
+ Tahu bahawa dia tidak dibenarkan bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya?
+ Mempunyai rutinnya sendiri untuk tidur malam dan siesta (tidur sebentar) di siang hari?
+ Tahu prosedur keselamatan tertentu contohnya cara-cara untuk melarikan diri dari kebakaran?

0 comments:

Post a Comment