Wednesday, July 14, 2010

RANGSANGAN DERIA MELALUI PERMAINAN

 Setiap ibu bapa mahu memberikan mainan terbaik kepada anak-anaknya. Tetapi kadang kala sukar untuk mengetahui apakah yang terbaik apabila terdapat banyak pilihan dan pendapat mengenai permainan untuk si kecil.
Sebelum anda mengambil keputusan untuk memilih permainan untuk bayi, anda perlu memahami tentang perkembangannya. Bagi anak kecil permulaan perkembangannya berkaitan dengan deria iaitu deria lihat (mata), deria rasa (lidah), deria bau (hidung), deria dengar (telinga) dan deria sentuh (kulit). Jadi pilihan barang yang sesuai untuk anak harus merangkumi tiga kemahiran ini untuk awal perkembangannya.
Permainan untuk penglihatan Tahap penglihatan bayi baru lahir terhad iaitu kurang 6 inci dari mukanya. Jadi adalah penting menyediakan permainan yang mempunyai warna kontras iaitu hitam dan putih sebagai permulaan permainan buat si kecil. Warna sebegini mampu merangsang penglihatannya. Tetapi setelah bayi berusia 2 bulan, kemahiran penglihatannya telah berkembang iaitu jarak penglihatan bertambah dan mulai boleh melihat pelbagai warna. Jadi anda boleh mulai membeli permainan yang mempunyai warna terang misalnya merah, biru dan kuning.
Kain lembut
Anda perlu mengetahui bahawa bayi yang masih kecil belum memiliki perkembangan deria yang sempurna termasuklah deria sentuh. Jadi anda boleh memperkenalkan permainan yang merangsang perkembangan derianya untuk mengenal permukaan lembut atau kasar. Oleh kerana kulit bayi masih lembut, seeloknya anda memperkenalkan permainan yang lembut juga supaya tidak mencederakannya. Galakkan dia bermain dengan kain. Misalnya sambil meniarap dia akan menggerakkan badan, tangan dan kakinya untuk mencapai kain yang diletakkan di hadapannya.

Buku lembut
Ramai ibu bapa bertanya buku yang mana sesuai untuk bayinya yang masih kecil. Sebagai permulaan, perkenalkan buku yang kecil yang mempunyai warna hitam dan putih. Pastikan juga buku itu mempunyai imej yang jelas dan besar, tidak mudah terkoyak dan boleh dibasuh untuk memastikan ia bersih dan selamat untuk digunakan oleh bayi.

Ringan dan kecil
Pastikan permainan tidak terlalu berat. Ini kerana apabila si kecil mula memegang permainan, dia akan menjatuhkannya semula. Saiz pun jangan terlalu besar supaya mudah untuk dipegang bayi.

Keselamatan
Sebagai tambahan semasa memilih permainan untuk perkembangan si kecil, berikan juga perhatian mengenai keselamatan ketika menggunakannya. Pastikan saiz permainan tidak terlalu kecil, anak patung yang mempunyai mata kecil plastik yang mudah tertanggal (bahaya
untuk kepada kanak-kanak usia 3 tahun ke bawah), tidak mengeluarkan bunyi bising yang mampu merosakkan pendengaran si kecil jika ia terlalu kuat. Jadi anda digalakkan ‘mencuba’ dahulu di kedai untuk mengetahui kekuatan bunyi permainan itu. Pastikan permainan yang diberikan kepadanya tidak berbahaya seperti tajam, mudah pecah dan warna mudah luntur. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan anak akan memasukkan barang mainan ke dalam mulut.

0 comments:

Post a Comment