Memberi anak makan makanan jejari sangat baik kerana cara ini dapat memahirkan koordinasi tangannya. Jadi, ayuhlah bersama NAROSWATI NAIB belajar tentang makanan jejari dan menyediakannya sendiri untuk anak agar dia cepat pandai memegang.
Ketika berusia 8 bulan, bayi sudah boleh makan makanan jejari. Walau bagaimanapun, setiap bayi berbeza. Ada yang sudah inginkan mencuba makanan jejari seawal 6 bulan dan ada yang lambat. Jadi, sekiranya anak anda telah berusia 8 bulan, tapi masih enggan makan makanan jejari, janganlah risau. Biarkan dia sendiri yang tentukan bila dia inginkannya. Ketahuilah bahawa anda masih boleh berikan anak makanan jejari meskipun dia belum tumbuh gigi kerana gusi bayi sangat kuat. Tapi, pastikan makanan jejari yang diberi itu tidak keras.
Menyediakan sendiri makanan jejari untuk anak tidaklah sukar malah menyeronokkan. Pilihlah makanan yang anda rasakan sesuai untuk anak. Ketika memilih bahan mentah yang ingin dijadikan makanan jejari untuk anak, pastikan bahan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Selain itu, pastikan saiznya tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Sesuai untuk dipegang oleh anak anda. Untuk menarik minat anak, perkenalkan makanan jejari yang berwarna-warni dan mempunyai tekstur yang berbeza setiap kali memberinya makanan tersebut.
Ada banyak makanan yang boleh anda jadikan makanan jejari. Antaranya ialah:
Sayur-sayuran seperti lobak merah, ubi kentang dan labu.
Buah-buahan seperti pisang, epal, betik dan tembikai.
Biskut
Roti
Pasta
Keju
Sandwic bersaiz kecil
Ikan
Ayam
Semasa memilih bahan mentah yang boleh dijadikan makanan jejari, pastikan anak anda tidak alah terhadap bahan tersebut. Peraturan mudah yang perlu anda ikuti setiap kali memberi anak makan makanan baru ialah teruslah memberi makanan yang sama selama empat hari berturut-turut. Setelah tubuh anak anda tidak memberikan tindak balas negatif maknanya dia boleh makan makanan tersebut. Begitulah seterusnya setiap kali anda memperkenalkan makanan baru kepada anak. Tetapi ingat, jangan sesekali perkenalkan dua makanan baru serentak kepada anak.
0 comments:
Post a Comment